KEPENTINGAN KEMAHIRAN INSANIAH (SOFT SKILLS) KEPADA SETIAUSAHA ALAF 21
Secara amnya, kemahiran insaniah (soft skills) ini dapat didefinisikan
dengan pelbagai cara dan ianya tidak mempunyai definisi yang khusus dan tepat.
Hal ini dapat dibuktikan melalui penggunaan terminologi kemahiran insaniah (soft skills) di setiap negara yang berbeza
walaupun matlamat dan ciri-ciri yang dipraktikkan adalah hampir sama. Antaranya
istilah di Australia yang digunakan adalah ‘key
competencies’, ‘soft skills’ atau ‘employable
skills’. New Zealand pula telah menggunakan istilah ‘essential skills’ manakala di Amerika Syarikat, istilah ‘necessary skills’, ‘employability skills’ atau
‘workplace know-how’ telah digunakan.
Bagi di United Kingdom, istilah ‘key
skills’ atau ‘core skills’
digunakan untuk merujuk kepada
kemahiran insaniah ini. (Mohamad Zaid Mustafa et al., 2008).
Kemahiran insaniah adalah sebahagian daripada kemahiran generik. Ia merujuk
kepada penguasaan pelajar dalam kemahiran yang bersifat bukan akademik dan
lebih fokus kepada pembangunan ketrampilan diri, personaliti dan kemanusiaan. Kemahiran
ini diperlukan oleh pelajar untuk berjaya dan cemerlang dari pelbagai aspek
contohnya pekerjaan dan kehidupan. (Fauziah Esman & Rozita Mokhtar, 2014;
Pua Poh Keong, 2014; Rodiah Idris, Siti Rahayah Ariffin, & Noriah Mohd
Ishak, 2009).
Pengajaran dan Pembelajaran
hari ini perlu seiring dengan perkembangan dan keperluan rohani, jasmani serta
emosi di samping intelek. Perancangan akademik masa kini juga mengusulkan
supaya pengajaran dan pembelajaran kursus-kursus perlu meliputi elemen
kemahiran insaniah dalam berkomunikasi, ketrampilan berfikir serta semangat
kerja berpasukan dan pembelajaran sepanjang hayat. Kemahiran insaniah menjadi
elemen pembangunan insan yang terpenting dan perlu dikembangkan dalam dunia
pendidikan dan amalan pembelajaran di sekolah samada secara langsung mahupun
tidak langsung. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bagi tempoh
2013-2025 telah menegaskan betapa pentingnya pengembangan aspek-aspek kemenjadian
murid sebagai indikator penting bagi mewujudkan pelajar yang dapat menghadapi
cabaran alaf baru, prospek pekerjaan dan daya saing pada peringkat global. Kerajaan
mengakui terdapat pelbagai kemahiran (multi skill) lain yang diperlukan untuk
melahirkan out comes sekolah yang dapat berdaya saing pada peringkat seterusnya.
Sumber manusia yang dikehendaki dalam dunia pekerjaan adalah mereka yang
mempunyai kebolehan dan kepelbagaian kemahiran (multi skill) (Zainuddin et.
al., 2005 dan Quek, 2005).
Lulusan sekolah mestilah
memiliki kemahiran insaniah untuk membantu mereka bersaing dalam masyarakat
yang lebih luas dan memenuhi tuntutan dunia luar yang lebih mencabar. Secara
ringkasnya, kemahiran insaniah umumnya ditafsirkan sebagai kemahiran seseorang
dalam membina perhubungan baik dengan diri sendiri dan orang lain, iaitu apa
yang dikatakan sebagai kemahiran intrapersonal dan kemahiran interpersonal.
Kemahiran insaniah pada pandangan beberapa sarjana juga disebut sebagai people skills, soft skills dan emotional intelligence. Kesemuanya
membawa maksud yang serupa, iaitu kebolehan seseorang menguasai kemahiran dalam
membina hubungan dengan diri sendiri dan membina hubungan dengan persekitaran,
khususnya melalui aktiviti komunikasi.
Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan,
telah digariskan satu perkara untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan dan
inovasi serta memupuk
‘Minda Kelas Pertama’
dalam kalangan rakyat Malaysia sejajar dengan perkembangan era terkini. Untuk melahirkan modal insan
kelas pertama yang mampu berdaya saing, cekap, tahan lasak dan fleksibel
apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam pekerjaan, maka penekanan
aspek kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar perlu ditingkatkan. (Ahmad
Anuar & Esa, 2010) Pembangunan modal
insan adalah begitu
dititikberatkan seperti yang
terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Modal insan
yang diharapkan haruslah mempunyai
kemahiran agar dapat meningkatkan pembangunan sesebuah negara. Kemahiran
generik adalah penting dan diperlukan oleh tenaga kerja sebelum memasuki
alam pekerjaan. (Norani Mohd Noor & Sazalie Sahimin, n.d.) Negara kita,
Malaysia adalah sebuah
negara industri berasaskan
maklumat dan
dipertanggungjawabkan untuk memperkenalkan konsep kemahiran pekerjaan kepada
pelajar. Demi melaksanakan amanah ini, aspek penguasaan kemahiran insaniah
perlu dititikberatkan bermula dari peringkat
bangku sekolah supaya
produk yang akan
dihasilkan memberi manfaat
dan mampu memenuhi keperluan
industri negara.
Pihak kerajaan
melalui Dasar Pendidikan
Kebangsaan juga telah
menyatakan hasratnya untuk mempertingkatkan penyertaan
remaja umur belasan tahun
dalam mendapatkan pendidikan yang
menggabungkan ilmu dan kemahiran insaniah, seiring dan sesuai dengan alam
pekerjaan masa kini. Perkara ini disokong
oleh mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, dalam
teks ucapannya yang
mengatakan bahawa Institusi
Pengajian Tinggi (IPT)
perlu memantapkan elemen
kemahiran insaniah dalam
struktur program mereka
bagi melahirkan graduan
yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. (Mustapha, 2008) Pencapaian
akademik sahaja tidak menjamin bagi
para graduan untuk diterima
terus ke pasaran pekerjaan
kerana ekspektasi majikan
dan cabaran pekerjaan
yang semakin meningkat. Kebanyakan majikan
bukan sahaja menjadikan
pencapaian akademik sebagai
kriteria utama pemilihan, tetapi
juga meletakkan penguasaan kemahiran insaniah (soft skills) di kalangan graduan
sebagai kriteria pemilihan bakal pekerjanya.(Azim Md. Kasim, Hazrul Izuan
Shahiri, & Mohd Sofiean Bachok, 2013; Mohd Hafeez Al-Amin Adul Wahab, 2013)
“Pada zaman ini ilmu yang diperolehi
daripada buku-buku teks sahaja tidak memadai untuk pelajar kerana
mereka kini memerlukan
kemahiran insaniah untuk
berjaya sebagai usahawan mahupun di
bidang pekerjaan," kata
Dato Seri Mustapa
Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada
majlis penutup Konvensyen 1Malaysia
Cabaran Usahawan Muda (YEC) di Universiti Teknologi Mara
(UiTM). (Sinar Harian, 2012)
Kebanyakan majikan masa kini memerlukan pekerja
yang turut memiliki
kemahiran generik selain
kemahiran teknikal untuk meningkatkan produktiviti syarikat dan
berdaya saing. Pekerja yang mempunyai kemahiran generik tersebut akan dapat
menyesuaikan diri dengan semua jenis pekerjaan dan bersifat serba boleh. Oleh
itu kemahiran generik
adalah penting bagi
ekonomi yang berasaskan
pengetahuan. Gabungan
pelbagai kemahiran ini
meningkatkan produktiviti individu
serta pengeluaran syarikat.
(Zainudin Hassan, Mohd Anuar Abdul Rahman, Mohd. Najib Abdul Ghafar,
& Kamariah Zakaria, n.d.) Untuk mencapai impian negara sebuah negara
perindustrian berasaskan pengetahuan, maka setiap individu perlulah meningkatkan kebolehan kognitif dan kemahiran generik yang lain.
Justeru itu, institusi pendidikan
harus memainkan peranan
dengan menitikberatkan tentang
kepentingan kemahiran insaniah sebagai penyumbang yang kritikal dalam
menjana modal insan yang menyeluruh di samping mampu membawa persaingan di
peringkat global bagi menangani isu kualiti produk IPT.
Institusi pendidikan hari
ini perlu melatih pelajar-pelajar agar berdaya saing bagi memenuhi
permintaan pasaran pekerjaan yang makin pesat
membangun (Pua Poh Keong, 2014).
Sementara itu, para pelajar
perlu menguasai ciri pekerja yang diperlukan oleh majikan era globalisasi,
terutamanya dari segi kemahiran insaniah, mempunyai kesanggupan untuk belajar
sepanjang hayat dan mempunyai etika kerja yang positif. Untuk menuju ke arah
itu, para pelajar perlu diterapkan dengan kemahiran yang pelbagai dan mengikut
standard yang bersesuaian dengan kehendak
industri negara supaya mereka
yang akan menempuh alam kerjaya
bersedia untuk menjalankan
tugas yang diberikan
mengikut keperluan majikan.
(Fadilah Mat Assain @ Hashim, 2005) Dengan ini jelaslah bahawa kepentingan
kemahiran insaniah itu tidak dapat
dinafikan lagi terutama pada zaman ini. Kemahiran insaniah penting untuk memupuk minda kelas
pertama dan sebagai persediaan
memasuki alam pekerjaan. Ianya juga
merupakan keperluan negara industri, kehendak pasaran kerja
ataupun peluang pekerjaan pada hari ini. Seharusnya kemahiran insaniah ini
diterapkan sejak di bangku sekolah lagi agar kemahiran itu dapat dikembangkan
dan disumbangkan kepada negara kelak.
Antara cadangan yang dapat dikemukakan
bagi meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri seseorang adalah dengan menyertai
persatuan dan organisasi yang aktif. Hal ini bagi melahirkan seseorang pemimpin
yang berwibawa dan boleh melaksanakan tugas dengan baik dalam satu kumpulan.
Dalam erti kata lain, seorang pemimpin yang berkualiti mampu untuk sedia tampil
ke hadapan apabila diperlukan. Sebagai contoh, penglibatan dalam aktiviti
kokurikulum seperti persatuan kebajikan masyarakat memerlukan seorang pemimpin
yang mampu menggerakkan hala tuju persatuan itu agar berfungsi dengan baik dan
aktif dalam aktiviti kesukarelawanan yang melibatkan komuniti. Kesannya
ahli-ahli akan memberikan sepenuh kepercayaan kepada pemimpin dan memberi
kerjasama dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Selain itu, berlatih memberi
dan menerima kritikan positif. Hal ini adalah untuk melahirkan seseorang yang
beretika dan bermoral. Seperti yang sedia maklum, setiap manusia memiliki
personality dan pendirian yang berbeza. Dalam konteks ini, seseorang itu
perlulah berfikiran positif terhadap input dan kritikan yang membina daripada
orang lain. Contoh yang boleh diketengahkan adalah dengan mengelakkan diri
daripada melihat kritikan sebagai satu penghinaan. Oleh itu jelaslah bahawa
dengan berlatih memberi dan menerima kritikan positif dapat membantu menanam
sikap beretika dan moral professional yang merangkumi aspek kemahiran insaniah.
Berdasarkan definisi-definisi dan
istilah yang telah dikemukakan, terbuktilah bahawa kemahiran insaniah merupakan
kemahiran yang amat perlu dimiliki oleh seseorang pelajar mahupun pekerja tanpa
mengira bidang atau pekerjaan serta sector pekerjaan yang sedang atau bakal
diceburi. Kemahiran insaniah juga adalah bersifat umum dan merangkumi hampir
semua kemahiran serta tidak hanya khusus kepada kemahiran berkaitan profesion
sebagai setiausaha. Walaubagaimanapun, secara lebih khusus kemahiran insaniah
adalah merujuk kepada kemahiran-kemahiran tertentu yang diperlukan oleh
golongan pekerja atau bakal pekerja (Ahmad, 2004). Dalam konteks kemahiran
kepimpinan pula, ia amat memberi nilai tambah kepada pelajar semasa mereka
berada di alam pekerjaan kelak. Insan yang berkepimpinan tinggi amat diperlukan
oleh negara sebagai pelapis untuk memacu kejayaan negara dimasa akan datang
Oleh
kerana kemahiran insaniah merupakan
kemahiran yang amat penting dan diperlukan oleh graduan selain dari pengetahuan akademik
dan walaupun tidak terdapat satu senarai kemahiran yang khusus tentang kemahiran insaniah, mereka juga seharusnya tahu menilai
kemahiran insaniah yang memenuhi
dan menepati kehendak pasaran
kerja serta kehidupan
seharian yang kian
mencabar. Justeru itu, peranan yang
berkesan dari semua
pihak yang bertanggungjawab seharusnya diperkasakan lagi
dalam memastikan pelajar
pada hari ini
diterapkan secukupnya dengan
kemahiran insaniah lebih - lebih
lagi dalam aspek kemahiran kepimpinan. Ini bagi memastikan aset negara
yang berupa modal insan pada masa akan datang
dilengkapi dengan kebolehan
memimpin yang utuh kerana merekalah yang bakal meneraju arah
tuju negara kelak. Kejayaan sesebuah
organisasi pada masa akan datang
hanya dapat dicapai sekiranya pemimpin
yang dibentuk pada hari ini benar-benar berkualiti dari sudut kepimpinan.
Akhir kalam, kemahiran insaniah perlu diberi penekanan dalam membentuk
pelajar/graduan yang bakal mewarnai modal insan dalam rangka memenuhi keperluan
negara.
RUJUKAN
Haslina Md Yunus, Abdul Razaq Ahmad,
Anisa Saleha (2015). Kemahiran
Insaniah Ke Arah Pembentukan Potensi
Pelajar. Fakulti
Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia. Diperolehi daripada https://isre.prosiding.unri.ac.id/index.php/ISRE/article/view/3041/2971
Mohamad Ridzuan Lau, Hishomudin bin
Ahmad, Mohd Faisol Ibrahim, Nabilah
Yusof,
Norlelawati Arifin (2015). Kemahiran
Insaniah dan Aktiviti Ko-kurikulum di Sekolah Menengah dan Universiti Awam.
Universiti Sains Islam Malaysia. Diperolehi daripada https://www.researchgate.net/profile/Hishomudin-Ahmad/publication/296282651_KEMAHIRAN_INSANIAH_DAN_AKTIVITI_KOKURIKULUM_DI_SEKOLAH_MENENGAH_DAN_UNIVERSITI_AWAM/links/56d3fb5a08ae85c8234d10f9/KEMAHIRAN-INSANIAH-DAN-AKTIVITI-KO-KURIKULUM-DI-SEKOLAH-MENENGAH-DAN-UNIVERSITI-AWAM.pdf
Norazila Mat, Jamsari Alias, Nazri
Muslim & Nur Atiqah Abdullah (2015). “Experiential
Learning” Dan “Service Learning” : Ke Arah Meningkatkan Kemahiran Insaniah
Pelajar UKM. Universiti
Kebangsaan Malaysia. Diperolehi daripada https://www.researchgate.net/profile/Nur-Atiqah-Abdullah-3/publication/304553269_Experiential_Learning_Dan_Service_Learning_Ke_Arah_Meningkatkan_Kemahiran_Insaniah_Pelajar_UKM/links/57734ea608aeeec389541b3a/Experiential-Learning-Dan-Service-Learning-Ke-Arah-Meningkatkan-Kemahiran-Insaniah-Pelajar-UKM.pdf
Nor Yusof (2015). Kemahiran Insaniah (Soft Skills). Diperolehi daripada
https://www.slideshare.net/izarina/kemahiran-insaniah-soft-skills
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian
Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial,
Universiti
Malaya (2013). Kepentingan Kemahiran
Insaniah. Universiti Malaya. Diperolehi daripada https://www.scribd.com/doc/124910024/Kepentingan-kemahiran-insaniah
Comments
Post a Comment